Orang Jepun terkenal dengan umur panjang mereka, dan ini disebabkan oleh dua faktor utama: faktor jasmani dan faktor rohani. Dari sudut jasmani, mereka mengamalkan Okinawa Diet, manakala dari sudut rohani, mereka menerapkan konsep Ikigai sebagai panduan hidup.
Mengapa Okinawa Diet Membantu Panjang Umur?
Pola pemakanan sihat dan seimbang menjadi kunci kesihatan dan umur panjang di Jepun, khususnya di Okinawa, sebuah pulau di Kepulauan Ryukyu. Okinawa dikenali mempunyai purata jangka hayat tertinggi di dunia, dengan ramai penduduk yang hidup sihat sehingga usia 100 tahun atau lebih.
Apa yang Terkandung dalam Okinawa Diet?
Penduduk Okinawa lebih banyak mengambil sayur-sayuran berwarna kuning, oren, dan hijau, serta menggantikan nasi dengan ubi keledek ungu. Pengambilan daging, produk tenusu, dan makanan laut adalah dalam jumlah kecil, manakala kacang soya dan kekacang diambil dalam jumlah yang banyak. Secara keseluruhan, mereka mengamalkan makanan rendah gula dan rendah gandum, dengan pengambilan gula sebanyak 30% dan gandum sebanyak 15% lebih rendah berbanding penduduk Jepun yang lain.
Hara Hachi Bu – Berhenti Sebelum Kenyang
Salah satu budaya makan penting di Okinawa adalah hara hachi bu, atau berhenti makan apabila perut sudah 80% penuh. Secara purata, mereka mengambil sekitar 1,200 kalori sehari, jauh lebih rendah berbanding purata kalori harian di negara lain. Walaupun rendah kalori, mereka tetap mendapat gizi mencukupi daripada makanan yang berkhasiat tinggi.
Rahsia Panjang Umur dan Kebahagiaan Orang Jepun
Di Jepun, ramai orang yang mempunyai Ikigai, iaitu konsep hidup yang bermaksud “alasan untuk hidup” atau “tujuan yang membuatkan hidup bermakna”. Ikigai memberi motivasi kepada orang Jepun untuk bangun setiap pagi dengan semangat, mempunyai tujuan, dan rasa bahagia dalam hidup.
Asal usul konsep ini adalah dari Okinawa, yang merupakan tempat tinggal masyarakat centenarian terbesar di dunia. Meskipun Okinawa adalah kawasan yang miskin di Jepun, penduduknya mempunyai jangka hayat tertinggi, sebahagian besarnya kerana mereka mempunyai tujuan hidup yang kuat dan pandangan hidup positif.
Menurut Dan Buettner, penulis buku Blue Zones: Lessons on Living Longer from the People Who’ve Lived the Longest, konsep Ikigai ini boleh dijumpai di beberapa tempat di dunia, seperti di Sardinia dan Semenanjung Nicoya. Konsep ini menunjukkan bahawa kehilangan tujuan hidup boleh memberi kesan negatif terhadap kesihatan seseorang.
Menemui Ikigai Anda
Ikigai terletak di persimpangan antara apa yang anda suka, kemahiran anda, keperluan orang lain, dan apa yang boleh memberi pendapatan. Untuk mencari Ikigai anda, tanyakan kepada diri sendiri soalan-soalan berikut:
- Apa yang anda minati?
- Apakah kepakaran anda?
- Apa yang diperlukan oleh orang lain?
- Apa yang boleh memberi anda pendapatan?
Dengan menjawab soalan-soalan ini, anda boleh menemui Ikigai anda dalam pekerjaan, hobi, atau peranan dalam kehidupan seharian. Kepuasan hidup tidak semata-mata bergantung kepada kestabilan ekonomi atau status, tetapi pada tujuan yang memberikan makna kepada kehidupan.
Kepuasan Bekerja dan Kehidupan Sosial
Orang Okinawa terkenal dengan pekerjaan yang memberi mereka kepuasan, bukan sekadar demi wang, konsep ini dikenali sebagai jiko jitsugen. Dalam pemakanan, mereka tetap mengamalkan prinsip hara hachi bu, dan dalam kehidupan sosial, mereka mempunyai moai, atau kumpulan rakan-rakan rapat yang sentiasa memberi sokongan ketika susah dan senang, mirip seperti sistem kutu dalam masyarakat Melayu.
Selain itu, mereka turut mengamalkan ittaiken, iaitu peranan atau komitmen terhadap komuniti atau organisasi. Gabungan elemen-elemen ini mungkin adalah rahsia mereka kekal sihat dan panjang umur.