Orang Malaysia memang susah nak berpisah dengan nasi.
Pagi nasi lemak.
Tengah hari nasi campur.
Malam nasi goreng.
Kalau ada nasi lebih malam tadi, esok pagi masuk kuali bersama bawang, ikan bilis, telur dan sambal. Siap nasi goreng.
Tetapi ada satu perkara menarik berlaku kepada nasi yang telah dimasak, disejukkan di dalam peti sejuk dan kemudian dimakan semula.
Struktur kanjinya boleh berubah.
Sebahagian daripada kanji tersebut menjadi lebih sukar dicerna oleh enzim dalam usus kecil. Ia dikenali sebagai resistant starch, atau kanji tahan cerna.
Disebabkan itu, timbul dakwaan di media sosial:
“Nasi sejuk lebih sihat daripada nasi panas.”
“Nasi semalam tak naikkan gula.”
“Nasi sejuk jadi makanan bakteria baik.”
“Nak kurus, masak nasi kemudian simpan dalam peti ais.”
Ada bahagian yang mempunyai asas sains.
Tetapi seperti biasa, ceritanya tidak semudah satu video TikTok 30 saat.
Nasi yang disejukkan memang boleh mempunyai lebih banyak resistant starch dan beberapa kajian manusia menunjukkan tindak balas gula darah selepas makan boleh menjadi lebih rendah berbanding nasi yang baru dimasak.
Namun nasi itu masih nasi.
Ia masih mengandungi karbohidrat.
Ia masih menyumbang tenaga.
Dan kalau nasi yang kononnya hendak dijadikan “lebih sihat” itu dibiarkan berjam-jam atas meja dapur, kita pula membuka cerita lain — risiko keracunan makanan.
Jadi apa sebenarnya berlaku?
Mari kita faham daripada mula.
Nasi sebenarnya penuh dengan kanji
Karbohidrat utama dalam nasi ialah kanji atau starch.
Kanji pula secara mudahnya terdiri daripada dua struktur utama yang dipanggil amylose dan amylopectin.
Bayangkan amylose seperti rantai yang lebih panjang dan lurus.
Amylopectin pula mempunyai struktur yang jauh lebih bercabang.
Perbezaan struktur ini penting kerana ia mempengaruhi bagaimana enzim pencernaan kita memecahkan kanji.
Secara umum, nasi dengan kandungan amylose yang lebih tinggi cenderung dicerna dengan lebih perlahan berbanding nasi dengan kandungan amylopectin yang tinggi. Kajian semakan pada 2024 yang melihat 17 kajian klinikal mendapati kebanyakan kajian menunjukkan nasi tinggi amylose menghasilkan peningkatan gula darah selepas makan yang lebih rendah berbanding nasi rendah amylose, walaupun respons sebenar masih bergantung kepada jenis nasi dan individu.
Sebab itu jangan anggap semua jenis nasi memberi tindak balas gula darah yang sama.
Jenis beras, varieti, kandungan amylose, cara memasak, jumlah air, saiz hidangan serta lauk yang dimakan bersama semuanya boleh mempengaruhi kadar pencernaan nasi.
Kemudian datang satu lagi faktor yang jarang kita fikirkan:
Apa jadi selepas nasi itu dimasak dan disejukkan?
Di sinilah ceritanya menjadi menarik.
Apa berlaku apabila kita masak nasi?
Semasa beras dimasak bersama air dan haba, granul kanji menyerap air dan mengembang.
Struktur kanji yang asalnya lebih tersusun mula terbuka.
Proses ini dipanggil gelatinisation.
Hasilnya?
Kanji menjadi lebih mudah dicapai oleh enzim pencernaan.
Sebab itulah nasi yang sudah lembut dan masak jauh lebih mudah kita hadam berbanding kalau cuba kunyah beras mentah.
Enzim seperti amylase boleh memecahkan kanji tersebut sehingga akhirnya menghasilkan glukosa yang boleh diserap ke dalam darah.
Tetapi ceritanya berubah apabila nasi yang telah dimasak tadi disejukkan.
Molekul kanji yang telah terbuka semasa proses memasak mula menyusun semula diri mereka.
Fenomena itu dinamakan starch retrogradation.
Sebahagian daripada struktur kanji kembali menjadi lebih padat dan lebih sukar ditembusi oleh enzim pencernaan manusia.
Daripada sinilah terbentuk lebih banyak resistant starch, terutamanya resistant starch jenis 3 atau RS3.
Nama sahaja sudah memberikan petunjuk:
Resistant = tahan.
Starch = kanji.
Maksudnya kanji yang lebih tahan terhadap proses pencernaan di bahagian atas sistem penghadaman.
Resistant starch bukan bermaksud “tiada karbohidrat”
Ini bahagian yang selalu hilang apabila topik nasi sejuk menjadi viral.
Apabila nasi disejukkan, bukan semua kanji tiba-tiba berubah menjadi resistant starch.
Jauh sekali nasi itu bertukar menjadi makanan “zero carbohydrate”.
Dalam satu kajian terhadap nasi putih, kandungan resistant starch nasi yang baru dimasak ialah kira-kira 0.64 g bagi setiap 100 g nasi. Selepas nasi dimasak, disejukkan selama 24 jam pada 4°C dan dipanaskan semula, resistant starch meningkat kepada kira-kira 1.65 g bagi setiap 100 g.
Itu peningkatan yang menarik.
Tetapi perhatikan angka tersebut.
Ia bukan bermaksud 100 gram nasi tiba-tiba mempunyai 30 atau 40 gram resistant starch.
Majoriti kanji masih boleh dicerna.
Jadi jangan sampai kita makan dua pinggan nasi goreng atas alasan:
“Tak apa. Ini nasi semalam. Resistant starch.”
Kalori tidak hilang secara magik.
Karbohidrat tidak lenyap.
Saiz hidangan masih penting.
Apa yang berubah ialah sebahagian struktur kanji menjadi lebih sukar dicerna dan kadar pencernaan keseluruhan boleh berubah.
Itu jauh lebih tepat.
Jadi nasi sejuk betul-betul kurang menaikkan gula darah?
Ada bukti manusia yang menarik.
Dalam kajian melibatkan 15 orang dewasa sihat, penyelidik membandingkan nasi putih yang baru dimasak dengan nasi yang disejukkan selama 24 jam pada suhu 4°C kemudian dipanaskan semula.
Kandungan resistant starch meningkat selepas proses tersebut dan tindak balas gula darah selepas makan juga lebih rendah berbanding nasi yang baru dimasak.
Satu lagi kajian melibatkan 32 individu dengan diabetes jenis 1 turut mendapati nasi yang disejukkan selama 24 jam kemudian dipanaskan semula menghasilkan peningkatan glukosa selepas makan yang lebih rendah berbanding nasi segar.
Tetapi ada satu perkara sangat penting daripada kajian diabetes jenis 1 itu.
Peserta yang menggunakan dos insulin biasa mengalami lebih banyak episod hipoglisemia selepas makan nasi yang telah disejukkan.
Ini menunjukkan sesuatu yang sangat penting:
perubahan cara makanan dicerna boleh mengubah keperluan insulin.
Jadi individu yang mengambil insulin tidak sepatutnya mengubah corak makan secara drastik berdasarkan trend TikTok dan kemudian menggunakan dos insulin seperti biasa tanpa berbincang dengan doktor atau pasukan diabetes mereka.
“Gula naik lebih rendah” tidak semestinya bermaksud “boleh makan sebanyak mana kita mahu”.
Kenapa nasi sejuk mungkin lebih menarik untuk kesihatan usus?
Inilah bahagian yang uncle rasa lagi menarik daripada isu gula darah.
Resistant starch yang tidak dicerna sepenuhnya dalam usus kecil akan bergerak lebih jauh ke bahagian kolon.
Di sana terdapat trilion mikroorganisma yang membentuk komuniti yang kita panggil gut microbiome atau mikrobiom usus.
Bakteria tertentu mempunyai keupayaan untuk menggunakan resistant starch sebagai substrat fermentasi.
Dalam bahasa mudah:
Kita tak dapat hadam semuanya, tetapi bakteria usus kita boleh makan sebahagiannya.
Daripada proses fermentasi tersebut, bakteria menghasilkan metabolit termasuk short-chain fatty acids atau SCFA.
Antara SCFA yang paling banyak dikaji ialah acetate, propionate dan butyrate.
Butyrate sangat menarik kerana ia merupakan sumber tenaga penting kepada sel yang melapisi kolon. SCFA secara keseluruhan juga terlibat dalam fungsi penghalang usus dan komunikasi antara mikrobiota, sistem imun dan metabolisme manusia.
Ini memberikan perspektif yang berbeza tentang makanan.
Kita selalu fikir:
“Aku makan nasi untuk bagi badan tenaga.”
Tetapi sebahagian daripada makanan yang kita makan sebenarnya turut menjadi makanan kepada ekosistem mikroorganisma dalam usus kita.
Sebab itulah topik serat, resistant starch dan mikrobiom semakin mendapat perhatian dalam bidang pemakanan moden.
Resistant starch boleh dianggap sejenis prebiotik?
Dalam konteks tertentu, ya.
Resistant starch boleh bertindak sebagai substrat fermentasi untuk mikroorganisma usus.
Kajian terhadap intervensi serat menunjukkan resistant starch boleh mempengaruhi komposisi dan aktiviti mikrobiota serta potensi penghasilan SCFA. Tetapi kesannya tidak seragam bagi semua orang kerana setiap individu mempunyai komuniti bakteria usus yang berbeza.
Ini penting.
Kadang-kadang kita bercakap tentang mikrobiom seolah-olah ada satu formula universal:
Makan makanan A → bakteria baik meningkat → badan sihat.
Hakikatnya jauh lebih kompleks.
Orang A mungkin mempunyai populasi bakteria yang sangat cekap memfermentasi sesuatu jenis resistant starch.
Orang B mungkin mempunyai komuniti bakteria yang berbeza.
Diet harian mereka pun berbeza.
Pengambilan antibiotik, umur, gaya hidup, senaman dan makanan lain turut memainkan peranan.
Jadi kita tidak boleh mengatakan:
“Makan nasi sejuk confirm baikkan microbiome.”
Ayat lebih tepat ialah:
resistant starch daripada nasi yang disejukkan boleh menjadi salah satu substrat fermentasi untuk bakteria usus dan berpotensi meningkatkan penghasilan metabolit seperti SCFA.
Itulah beza antara cerita sains dengan cerita marketing.
Nasi panas lawan nasi sejuk lawan nasi dipanaskan semula
Kalau begitu, mana paling baik?
Nasi baru masak biasanya mempunyai struktur kanji yang lebih mudah dicerna selepas gelatinisation.
Apabila nasi disejukkan, sebahagian kanjinya menjalani retrogradation lalu menghasilkan lebih banyak struktur resistant starch.
Menariknya, sebahagian struktur ini boleh kekal walaupun nasi tersebut dipanaskan semula.
Sebab itu kita tidak semestinya perlu makan nasi dalam keadaan sejuk daripada peti ais untuk mendapat kesan tersebut.
Kajian manusia yang disebut tadi menggunakan nasi yang disejukkan selama 24 jam dan kemudian dipanaskan semula.
Penyelidikan terhadap struktur kanji juga menunjukkan proses penyimpanan sejuk dan pemanasan semula boleh mengubah susunan molekul kanji serta kadar ia dihadam.
Maknanya konsepnya bukan:
“Nasi sejuk mesti dimakan sejuk.”
Konsep sebenarnya ialah:
proses masak → sejuk → perubahan struktur kanji.
Selepas itu nasi boleh dipanaskan semula dengan cara yang selamat.
Kalau panaskan semula, resistant starch tak hilang ke?
Tidak semestinya semuanya hilang.
Ini juga salah satu perkara menarik mengenai RS3.
Apabila kanji telah mengalami retrogradation, sebahagian struktur yang terbentuk agak stabil terhadap pemanasan biasa.
Kajian terhadap nasi yang disejukkan dan kemudian dipanaskan semula masih menunjukkan kandungan resistant starch lebih tinggi serta tindak balas glukosa lebih rendah berbanding nasi baru dimasak.
Kajian pemprosesan makanan turut menunjukkan kaedah penyimpanan dan pemanasan semula boleh menghasilkan perubahan kompleks pada struktur kanji, bukannya sekadar “panas = hilang resistant starch”.
Jadi nasi goreng yang dibuat daripada nasi yang sebelumnya disejukkan memang mempunyai sejarah struktur kanji yang berbeza daripada nasi yang baru keluar daripada rice cooker.
Tetapi jangan pula kita terus simpulkan:
“Nasi goreng semalam ialah makanan kesihatan.”
Kalau nasi itu digoreng dengan banyak minyak, ditambah sosej, garam, sos dan dimakan satu pinggan besar, keseluruhan nilai pemakanan hidangan tetap perlu dilihat.
Satu ciri positif tidak membatalkan semua faktor lain.
Adakah ini bermaksud nasi semalam lebih baik daripada nasi baru?
Saya lebih suka kata:
nasi yang dimasak, disejukkan dengan betul dan kemudian dipanaskan semula mempunyai beberapa ciri metabolik yang menarik berbanding nasi yang baru dimasak.
Itu sahaja.
Tidak perlu jadikan nasi panas sebagai “jahat”.
Tidak perlu pula anggap nasi semalam sebagai “superfood”.
Kalau kita melihat pemakanan secara keseluruhan, kesan sesuatu pinggan nasi turut bergantung kepada jumlah yang dimakan dan apa yang kita makan bersamanya.
Setengah pinggan sayur, sumber protein seperti ikan, ayam, telur atau tempe serta jumlah nasi yang bersesuaian akan menghasilkan hidangan yang sangat berbeza daripada satu pinggan nasi penuh dengan kuah manis dan minuman bergula.
Dalam dunia sebenar, meal composition selalunya lebih penting daripada bergaduh tentang satu komponen sahaja.
Jenis nasi pun memainkan peranan
Satu lagi kesilapan ialah menganggap semua nasi sama.
Tidak.
Struktur kanji berbeza mengikut varieti beras.
Kandungan amylose merupakan salah satu faktor penting.
Kajian semakan pada 2024 mendapati nasi tinggi amylose secara umumnya menghasilkan tindak balas glukosa selepas makan yang lebih rendah berbanding varieti rendah amylose dalam kebanyakan kajian klinikal yang dinilai.
Tetapi amylose bukan satu-satunya faktor.
Kajian terhadap varieti nasi menunjukkan struktur amylopectin, resistant starch sedia ada, kaedah memasak dan interaksi kanji dengan protein, lemak serta serat turut mempengaruhi kadar pencernaan.
Jadi kalau seorang makan nasi tertentu dan bacaan CGM dia cantik, tidak semestinya keputusan yang sama akan berlaku kepada semua orang.
Biologi manusia memang suka menyusahkan tajuk TikTok.
Bagaimana pula dengan nasi perang?
Nasi perang mempunyai kelebihan lain kerana lapisan bran dan germ masih dikekalkan.
Ini memberikan lebih banyak serat dan beberapa mikronutrien berbanding nasi putih yang telah melalui proses pengilangan lebih banyak.
Tetapi konsep resistant starch akibat proses masak dan sejuk masih merupakan fenomena yang berbeza.
“Nasi perang” merujuk kepada jenis pemprosesan bijirin.
“Nasi sejuk” pula merujuk kepada apa yang berlaku terhadap struktur kanji selepas ia dimasak dan disejukkan.
Kedua-duanya bukan benda yang sama.
Tidak perlu memilih satu kem untuk menang.
Adakah nasi sejuk boleh membantu orang nak kurus?
Di sinilah kita kena berhati-hati.
Resistant starch memang sedang dikaji dalam konteks metabolisme, rasa kenyang, mikrobiom dan pengurusan berat badan.
Malah satu kajian intervensi resistant starch dalam individu dengan berat badan berlebihan menunjukkan perubahan pada mikrobiom dan pengurangan berat badan dalam keadaan kajian tertentu. Tetapi resistant starch yang digunakan dalam kajian intervensi sedemikian tidak semestinya sama jumlahnya dengan resistant starch yang anda dapat daripada satu pinggan nasi sejuk di rumah.
Ini perbezaan yang sangat penting.
Kita tidak boleh mengambil kajian menggunakan dos resistant starch tertentu lalu berkata:
“Makan nasi semalam akan kurus.”
Itu melompat terlalu jauh.
Untuk menurunkan berat badan, jumlah pengambilan tenaga keseluruhan, protein, aktiviti fizikal, tidur, saiz hidangan dan corak pemakanan harian tetap memainkan peranan jauh lebih besar.
Kalau sebelum ini makan satu pinggan nasi, kemudian selepas mengetahui tentang resistant starch makan dua pinggan nasi sejuk, strategi itu mungkin telah terkeluar jauh daripada objektif asal.
Tetapi ada satu masalah besar dengan nasi sejuk: keselamatan makanan
Ini bahagian paling penting dalam seluruh artikel.
Nasi sejuk bukan bermaksud nasi yang dibiarkan atas meja sejak tengah hari kemudian dimakan malam.
Itu bukan “hack resistant starch”.
Itu boleh menjadi hack sakit perut.
Beras mentah boleh mengandungi spora bakteria Bacillus cereus.
Spora tersebut boleh bertahan selepas proses memasak.
Masalah berlaku apabila nasi yang telah dimasak dibiarkan lama pada suhu bilik.
Spora boleh bercambah, bakteria boleh membiak dan sesetengah strain boleh menghasilkan toksin.
Lebih lama nasi berada pada suhu yang sesuai untuk pertumbuhan bakteria, lebih besar risikonya.
Malah pemanasan semula tidak semestinya menyelesaikan masalah kerana toksin yang telah terbentuk boleh kekal. Panduan Food Standards Agency UK secara khusus menekankan bahawa risiko nasi yang dipanaskan semula sebenarnya banyak bergantung pada cara ia disimpan sebelum dipanaskan.
Jadi jangan ambil nasi dari rice cooker yang terbiar semalaman, masukkan microwave kemudian kata:
“Ini resistant starch.”
Tidak.
Itu bukan eksperimen metabolik yang saya cadangkan.
Cara lebih selamat menyediakan nasi yang hendak disejukkan
Kalau hendak menggunakan konsep ini di rumah, prinsip paling penting ialah sejukkan nasi dengan cepat, bukan biarkan ia berjam-jam pada suhu bilik.
Panduan keselamatan makanan UK menyarankan nasi yang hendak disimpan disejukkan secepat mungkin, idealnya dalam masa kira-kira satu jam selepas dimasak, kemudian dimasukkan ke dalam peti sejuk. Membahagikan nasi kepada bekas yang lebih kecil atau lapisan yang lebih cetek boleh membantu ia turun suhu dengan lebih cepat. Nasi yang telah disejukkan hendaklah disimpan sejuk, digunakan dalam masa 24 jam mengikut panduan konservatif tersebut, dipanaskan sehingga betul-betul berwap panas, dan tidak dipanaskan berulang kali.
Dalam cuaca Malaysia yang panas, perkara ini lagi relevan.
Jangan masak nasi pukul 12 tengah hari, tinggal atas meja sampai 6 petang, kemudian baru masuk peti ais kerana mahu “hasilkan resistant starch”.
Proses retrogradation bukan lesen untuk mengabaikan food safety.
Formula paling mudah untuk orang Malaysia
Masak nasi seperti biasa.
Ambil bahagian yang tidak hendak dimakan dan pindahkan ke bekas bersih yang tidak terlalu dalam supaya haba boleh keluar dengan lebih cepat.
Sejukkan dengan segera dan masukkan ke dalam peti sejuk, bukannya membiarkannya berjam-jam atas meja.
Apabila hendak makan, panaskan hanya bahagian yang diperlukan sehingga benar-benar panas dan berwap sekata.
Kemudian makan bersama lauk yang seimbang.
Mudah.
Tak perlu beli produk pelik.
Tak perlu beli “beras resistant starch RM80 sekilo” semata-mata kerana ternampak video viral.
Sainsnya sebenarnya berlaku dalam dapur kita sendiri.
Siapa yang mungkin rasa perut berubah bila mula makan lebih banyak resistant starch?
Ada orang mungkin mendapati najis menjadi lebih baik atau rasa lebih kenyang apabila pengambilan fermentable carbohydrate dan serat meningkat.
Tetapi ada juga orang mengalami:
perut kembung, lebih banyak kentut atau rasa tidak selesa.
Kenapa?
Kerana bakteria sedang memfermentasi bahan tersebut.
Gas ialah salah satu hasil proses fermentasi.
Lebih banyak fermentasi boleh bermaksud lebih banyak gas bagi sesetengah individu, terutamanya jika perubahan diet dibuat secara mendadak.
Individu dengan IBS, SIBO atau masalah gastrointestinal tertentu pula mungkin memberikan respons yang berlainan.
Sebab itu pendekatan “lagi banyak lagi baik” tidak semestinya bijak dalam kesihatan usus.
Mikrobiom bukan pertandingan siapa boleh makan paling banyak serat.
Adakah resistant starch sama dengan fiber?
Secara fisiologi, resistant starch mempunyai banyak ciri seperti serat kerana ia tidak dicerna sepenuhnya dalam usus kecil dan sebahagiannya difermentasi di kolon.
Tetapi dari sudut struktur kimia, ia tetap merupakan kanji.
Sebab itulah resistant starch sangat menarik.
Makanan yang selama ini kita anggap semata-mata sebagai “karbohidrat” boleh mempunyai sebahagian komponen yang berkelakuan seperti substrat fermentasi untuk mikrobiota.
Dan fenomena ini bukan unik kepada nasi.
Kentang, pasta dan beberapa makanan berkanji lain juga boleh mengalami retrogradation selepas dimasak dan disejukkan.
Jadi konsep yang perlu difahami bukan “nasi semalam”.
Konsep besarnya ialah:
cara kita memproses dan memasak makanan boleh mengubah bagaimana makanan itu dicerna oleh badan.
Ini juga mengajar kita bahawa kalori bukan seluruh cerita
Dua hidangan mungkin kelihatan hampir sama.
Kedua-duanya ada nasi.
Tetapi struktur kanjinya mungkin berbeza.
Kadar ia dihadam mungkin berbeza.
Tindak balas gula darah mungkin berbeza.
Berapa banyak yang sampai ke bakteria usus juga mungkin berbeza.
Inilah sebab pemakanan tidak boleh diterangkan dengan hanya:
“Ini 200 kalori.”
Kalori masih penting.
Tetapi matriks makanan, struktur molekul, proses memasak, protein, lemak, serat dan mikrobiota semuanya mempengaruhi apa yang berlaku selepas makanan masuk ke dalam badan.
Badan manusia bukan bomb calorimeter.
Boleh tak pesakit diabetes cuba nasi sejuk?
Konsep ini memang menarik untuk individu yang menjaga gula darah, tetapi ia bukan rawatan diabetes.
Kajian manusia menunjukkan tindak balas glukosa selepas makan boleh menjadi lebih rendah bagi nasi yang disejukkan kemudian dipanaskan semula.
Namun jumlah nasi tetap penting.
Lauk tetap penting.
Ubat tetap penting.
Aktiviti fizikal tetap penting.
Dan bagi mereka yang menggunakan insulin, isu ini perlu diberi perhatian lebih serius kerana perubahan kadar penyerapan karbohidrat boleh mempengaruhi keperluan insulin. Dalam kajian diabetes jenis 1 tadi, nasi yang disejukkan dikaitkan dengan lebih banyak episod hipoglisemia apabila dos insulin biasa digunakan.
Kalau menggunakan CGM, mungkin menarik untuk melihat sendiri bagaimana badan bertindak balas terhadap jumlah nasi yang sama dalam keadaan yang berbeza.
Tetapi jangan ubah ubat atau insulin hanya berdasarkan eksperimen sendiri tanpa nasihat profesional kesihatan.
Nasi semalam sebenarnya contoh cantik bagaimana sains makanan berfungsi
Orang dahulu mungkin tidak pernah menggunakan perkataan:
“retrogradation”.
Mereka tidak menyebut:
“RS3”.
Mereka tidak berbincang tentang:
“short-chain fatty acids”.
Mereka cuma tahu nasi semalam sedap dibuat nasi goreng.
Hari ini kita mempunyai teknologi yang membolehkan kita melihat apa yang berlaku pada struktur kanji sehingga ke peringkat molekul.
Apabila nasi dimasak, struktur kanji berubah.
Apabila ia disejukkan, struktur berubah lagi.
Apabila kita makan, sebahagiannya dicerna.
Sebahagian lain sampai ke kolon.
Kemudian bakteria pula menyambung kerja.
Satu pinggan nasi rupanya tidak sesimple yang kita sangka.
Jadi patut ke kita mula makan semua nasi dalam keadaan sejuk?
Tak perlu.
Kalau suka nasi panas, makan nasi panas.
Kalau ada nasi lebih, menyimpan dan memanaskannya semula dengan cara selamat mungkin memberikan sedikit kelebihan daripada sudut resistant starch.
Tetapi jangan jadikan satu mekanisme kecil sebagai agama pemakanan baru.
Kesihatan usus tidak bergantung pada satu pinggan nasi.
Ia dibentuk oleh corak pemakanan keseluruhan.
Sayur.
Buah.
Kekacang.
Bijirin.
Pelbagai sumber serat.
Makanan fermentasi tertentu.
Aktiviti fizikal.
Tidur.
Penggunaan antibiotik.
Dan banyak lagi.
Bakteria usus kita juga suka kepelbagaian.
Jadi jangan habiskan tenaga mencari satu “superfood” sedangkan diet harian kita masih sangat kurang tumbuhan dan sangat tinggi makanan ultra-proses.
Kesimpulan: nasi sejuk bukan magik, tetapi sainsnya memang menarik
Jadi betul ke nasi yang telah disejukkan lebih baik?
Ada asas saintifik di sebaliknya.
Memasak kemudian menyejukkan nasi boleh menyebabkan sebahagian kanji menjalani retrogradation dan membentuk lebih banyak resistant starch.
Resistant starch lebih sukar dicerna dalam usus kecil.
Sebahagiannya bergerak ke kolon dan boleh difermentasi oleh mikrobiota usus.
Proses tersebut boleh menghasilkan SCFA seperti butyrate yang terlibat dalam kesihatan kolon, fungsi penghalang usus dan komunikasi dengan sistem imun.
Kajian manusia pula menunjukkan nasi yang disejukkan kemudian dipanaskan semula boleh menghasilkan tindak balas gula darah selepas makan yang lebih rendah berbanding nasi yang baru dimasak.
Tetapi jangan salah faham.
Nasi sejuk bukan nasi tanpa karbohidrat.
Ia bukan makanan tanpa kalori.
Ia tidak membatalkan kesan makan berlebihan.
Ia bukan rawatan diabetes.
Ia juga tidak bermaksud semua orang perlu makan nasi dari peti ais.
Yang paling penting, nasi mesti disejukkan dan disimpan dengan cara yang betul kerana nasi yang dibiarkan terlalu lama pada suhu bilik boleh meningkatkan risiko keracunan makanan daripada Bacillus cereus.
Jadi kalau malam ini ada nasi lebih, jangan membazir.
Simpan dengan betul.
Esok panaskan semula sampai betul-betul panas.
Makan bersama protein dan sayur.
Dan kali ini apabila tengok nasi semalam itu, kita dah tahu:
bukan sekadar nasi yang dah sejuk. Struktur kanjinya sendiri sudah berubah.
Kadang-kadang perubahan kecil dalam dapur boleh menghasilkan perubahan yang cukup menarik dalam biologi kita.
Bukan magik.
Cuma kimia, mikrobiologi dan sedikit nasi semalam.