Posted in

Mikrobiom Usus Tak Seimbang: Apa Benda Mikrobiom dan Kenapa Budu, Tempoyak, Jeruk serta Makanan Tradisi Melayu Kembali Menarik Perhatian?

Perut kembung — mikrobiom.

Susah membuang — mikrobiom.

Kulit bermasalah — mikrobiom.

Obesiti — mikrobiom.

Mood tak stabil — mikrobiom.

Malah ada yang sampai mendakwa hampir segala penyakit berpunca daripada “bakteria usus tak seimbang”.

Persoalannya, betul ke?

Jawapan yang lebih tepat ialah: mikrobiom memang sangat penting, tetapi sainsnya jauh lebih kompleks daripada sekadar “bakteria baik lawan bakteria jahat”.

Lebih menarik, ketika dunia moden sibuk bercakap tentang kombucha, kimchi, kefir dan sauerkraut, masyarakat kita sebenarnya sudah lama mengenali makanan hasil fermentasi.

Orang Melayu ada budu, tempoyak, tapai, pekasam dan belacan. Di Melaka terkenal dengan cincalok. Dalam masyarakat Malaysia yang lebih luas kita juga mempunyai tempe, pelbagai jenis jeruk dan makanan yang melalui proses penapaian sejak beberapa generasi dahulu.

Adakah orang dulu tanpa sedar telah menjaga mikrobiom mereka?

Mungkin ada sebahagian hikmahnya.

Tetapi kita kena bezakan antara tradisi yang menarik dengan apa yang benar-benar sudah dibuktikan oleh sains.


Apa sebenarnya mikrobiom usus?

Usus manusia bukanlah sebuah paip kosong.

Ia merupakan satu ekosistem yang didiami oleh komuniti mikroorganisma yang sangat kompleks. Di dalamnya terdapat bakteria, archaea, kulat, virus dan mikroorganisma lain.

Komuniti organisma ini biasanya disebut sebagai gut microbiota.

Istilah microbiome pula sering digunakan dalam maksud yang lebih luas, termasuk mikroorganisma tersebut, gen mereka, aktiviti metabolik dan interaksi mereka dengan persekitaran usus.

Dalam percakapan biasa, kedua-duanya memang sering digunakan secara bertukar ganti.

Kajian moden menunjukkan diet merupakan antara faktor penting yang mempengaruhi komposisi dan fungsi komuniti mikroorganisma dalam usus. Kajian ulasan besar dalam Nature Reviews Microbiology pada 2024 membincangkan bagaimana corak pemakanan seperti diet Mediterranean, diet tinggi serat, plant-based diet, diet tinggi protein dan diet Barat boleh menghasilkan kesan berbeza terhadap mikrobiom.

Jadi kita sebenarnya tidak makan untuk badan kita sahaja.

Sebahagian makanan yang masuk ke dalam usus turut menjadi makanan kepada mikroorganisma yang tinggal di sana.


Mikroorganisma dalam usus sebenarnya buat apa?

Antara fungsi paling menarik ialah kemampuan mikroba usus memproses komponen makanan yang badan manusia sendiri tidak mampu hadam sepenuhnya.

Contoh paling mudah ialah serat.

Enzim manusia tidak mampu memecahkan semua jenis serat. Apabila sebahagian serat sampai ke kolon, bakteria tertentu boleh memfermentasikannya.

Daripada proses itu, terhasil metabolit seperti short-chain fatty acids atau SCFA, termasuk acetate, propionate dan butyrate.

Butyrate khususnya digunakan sebagai sumber tenaga oleh sebahagian sel kolon dan turut terlibat dalam pelbagai proses berkaitan integriti penghalang usus serta regulasi sistem imun.

Sebab itulah sains pemakanan sekarang tidak lagi melihat serat semata-mata sebagai:

“makanan supaya senang berak.”

Serat juga merupakan substrat kepada ekosistem mikroorganisma usus.

Ulasan dalam Nature Reviews Microbiology pada 2025 menekankan hubungan antara dietary fibre, mikrobiom dan metabolisme dalam penyakit kardiometabolik, obesiti serta kanser. Namun tindak balas mikrobiom terhadap serat tidak sama untuk setiap orang.

Analisis semula 21 intervensi serat yang melibatkan 538 individu juga menunjukkan terdapat beberapa respons mikrobiom yang konsisten, tetapi kesannya tetap bergantung kepada jenis serat, populasi dan keadaan mikrobiom asal seseorang.

Maksudnya mudah:

bukan semua serat sama, dan bukan semua manusia mempunyai mikrobiom yang sama.


Jadi apa pula maksud “mikrobiom tidak seimbang”?

Istilah yang biasa digunakan ialah dysbiosis.

Tetapi jangan bayangkan di dalam perut kita terdapat dua pasukan:

BAKTERIA BAIK
lawan
BAKTERIA JAHAT.

Realitinya jauh lebih rumit.

Bakteria yang tidak bermasalah dalam sesuatu keadaan mungkin menjadi masalah apabila bilangannya terlalu dominan, berada di tempat yang salah atau apabila persekitaran usus berubah.

Dysbiosis boleh menggambarkan perubahan pada komposisi mikroorganisma, kehilangan organisma tertentu, pengembangan organisma oportunistik ataupun perubahan fungsi metabolik keseluruhan komuniti tersebut.

Malah pada 2026, panel pakar International Scientific Association for Probiotics and Prebiotics atau ISAPP menerbitkan konsensus khusus tentang istilah “gut health”, kerana perkataan itu sendiri sudah digunakan dengan terlalu luas oleh industri, media dan masyarakat sehingga definisinya sering kabur.

Satu perkara penting:

kita belum mempunyai satu formula universal bagi “mikrobiom sempurna”.

Tidak ada nombor seperti:

“Lactobacillus mesti 20%, Bifidobacterium mesti 15%, Akkermansia mesti 10%.”

Mikrobiom dua orang yang sihat pun boleh sangat berbeza.

Sebab itu berhati-hatilah dengan dakwaan:

“Microbiome anda rosak.”

“Reset gut dalam tujuh hari.”

“Buang semua bakteria jahat.”

“Detox usus.”

Sains sebenar jauh lebih bernuansa.


Kenapa makanan begitu penting?

Kalau mikroorganisma memerlukan makanan, persoalan seterusnya mudah:

Apa kita bagi mereka makan setiap hari?

Jika menu harian kebanyakannya terdiri daripada makanan ultra-proses, minuman manis, tepung ditapis dan sangat sedikit sayur, buah, kekacang serta bijirin berserat, substrat yang sampai kepada bakteria kolon juga berubah.

Sebaliknya, diet yang mempunyai kepelbagaian makanan tumbuhan menyediakan pelbagai jenis serat, resistant starch dan polyphenol.

Systematic review terhadap 80 controlled clinical trials yang diterbitkan pada 2026 mendapati pelbagai intervensi diet termasuk Mediterranean, high-fibre, plant-based dan high-polyphenol diets boleh mengubah kumpulan bakteria tertentu dan biomarker metabolik, walaupun perubahan keseluruhan diversity tidak konsisten dalam semua kajian.

Ini penting.

Sasaran kita tidak sepatutnya semata-mata:

“nak naikkan diversity.”

Yang lebih penting ialah fungsi keseluruhan ekosistem.


Mungkin sebab itu diet orang lama menarik untuk kita kaji semula

Uncle bukan hendak mengatakan orang Melayu zaman dahulu semuanya makan sempurna.

Tidak.

Dan kita tidak mempunyai bukti bahawa nenek moyang Melayu mempunyai “mikrobiom terbaik dunia”.

Tetapi kalau diperhatikan corak makanan tradisional, terdapat beberapa perkara yang sekarang kembali menarik perhatian ahli sains.

Ada ulam.

Ada pucuk-pucuk.

Ada buah tempatan.

Ada ubi.

Ada kekacang.

Ada herba dan rempah.

Ada makanan yang ditapai.

Ada lauk ikan.

Dan makanan ultra-proses zaman moden tentunya jauh lebih sedikit.

Pegaga, ulam raja, kacang botol, timun, petai, jering, pucuk-pucuk tertentu, pisang, betik, jambu dan pelbagai tumbuhan tempatan memberikan campuran serat serta bahan bioaktif yang berbeza.

Bawang, bawang putih, lengkuas, kunyit, halia dan serai pula bukan sekadar memberikan aroma.

Bahan tumbuhan mengandungi pelbagai polyphenol, polysaccharide dan sebatian bioaktif yang sebahagiannya sampai ke kolon dan berinteraksi dengan mikroorganisma.

Ulasan terkini juga melihat bagaimana plant-derived polysaccharides berpotensi bertindak sebagai substrat prebiotik untuk bakteria tertentu.

Jadi mungkin konsep yang patut kita ambil daripada makanan tradisional bukanlah mencari satu “superfood Melayu”.

Sebaliknya:

kepelbagaian.


Budu: rupanya botol budu pun ada “microbiome” sendiri

Ini yang menarik.

Budu bukan sekadar ikan bilis yang dihancurkan.

Ia merupakan hasil fermentasi ikan bersama garam untuk tempoh yang panjang.

Satu kajian Malaysia yang menggunakan teknologi 16S rRNA sequencing menganalisis 60 sampel daripada 20 botol budu keluaran tujuh pengeluar.

Penyelidik mendapati genus Tetragenococcus mendominasi banyak sampel, dalam sesetengah sampel sehingga lebih 98%, tetapi komposisi mikroorganisma antara budu tidak seragam.

Kajian lain daripada penyelidik Malaysia yang diterbitkan pada 2023 turut menunjukkan komuniti bakteria budu berubah mengikut tempoh fermentasi dan berkait dengan pembentukan metabolit serta aroma budu.

Maknanya nenek kita mungkin tidak kenal perkataan:

Tetragenococcus.

Tetapi mereka memang sudah menggunakan mikroorganisma untuk mengubah ikan menjadi satu makanan yang boleh disimpan dan mempunyai rasa yang sangat berbeza daripada bahan mentahnya.

Itulah teknologi fermentasi.


Jadi budu ialah probiotik?

Belum tentu.

Ini salah faham paling besar.

Makanan fermentasi tidak sama dengan makanan probiotik.

Konsensus ISAPP menerangkan bahawa sesuatu mikroorganisma sepatutnya dipanggil probiotik apabila strain tertentu dikenal pasti dan terdapat bukti bahawa ia memberikan manfaat kesihatan apabila diambil pada jumlah yang mencukupi.

Sedangkan kebanyakan makanan fermentasi tradisional mengandungi campuran mikroorganisma yang berubah-ubah dan jumlahnya tidak distandardkan.

Jadi ayat:

“Budu mengandungi bakteria daripada fermentasi.”

boleh jadi benar.

Tetapi ayat:

“Budu ialah probiotik yang terbukti merawat usus.”

adalah dakwaan yang jauh lebih besar dan memerlukan clinical trial yang spesifik.

Kita belum ada bukti manusia yang cukup untuk mengatakan begitu.


Tempoyak mungkin lebih menarik

Tempoyak ialah durian yang difermentasikan.

Kajian mikrobiologi terhadap tempoyak di Malaysia mendapati lactic acid bacteria atau LAB merupakan mikroorganisma dominan dalam banyak sampel. Kajian awal melaporkan jumlah LAB yang tinggi dan peningkatan lactic serta acetic acid selepas fermentasi.

Kajian oleh penyelidik Universiti Sains Malaysia dan Universiti Malaya pula mengkarakterisasi pelbagai LAB yang muncul pada peringkat fermentasi tempoyak.

Satu review pada 2021 menyatakan bahawa spesies daripada kumpulan Lactobacillus, termasuk Lactiplantibacillus plantarum, sering dikenal pasti dalam tempoyak dan menjadikannya calon menarik untuk penyelidikan lanjut makanan berfungsi.

Tetapi sekali lagi:

“berpotensi” tidak sama dengan “sudah terbukti secara klinikal”.

Kalau tempoyak dimasak lama dalam gulai pula, kebanyakan mikroorganisma hidup kemungkinan tidak akan kekal hidup.

Namun ini tidak bermaksud makanan itu terus menjadi tidak berguna.

Fermentasi sudah pun mengubah struktur kimia makanan dan menghasilkan pelbagai metabolit sebelum ia dimasak.

Inilah sebab saintis sekarang turut berminat dengan postbiotics — bahan atau komponen hasil aktiviti mikroorganisma yang mungkin mempunyai kesan biologi walaupun mikroorganisma asal tidak lagi hidup.

Review 2026 mengenai makanan fermentasi Asia Tenggara menekankan potensi probiotik dan postbiotik dalam budu, tempoyak, belacan, cincalok, tapai dan pekasam, tetapi turut menyatakan bahawa penyelidikan klinikal Malaysia masih terhad.


Tapai pula cerita lain

Tapai menunjukkan betapa bijaknya teknologi makanan tradisional.

Beras pulut atau ubi yang asalnya berkanji akan berubah selepas ditambah ragi dan dibiarkan fermentasi.

Mikroorganisma dan enzim menguraikan sebahagian kanji kepada molekul yang lebih kecil. Sebab itu tapai menjadi lebih lembut dan manis serta mempunyai aroma fermentasi yang khas.

Review makanan fermentasi Malaysia pada 2025 menyenaraikan tapai pulut dan tapai ubi sebagai antara makanan fermentasi tradisional negara kita. Secara tradisional, bahan dikukus, dicampurkan ragi dan difermentasi sekurang-kurangnya sekitar 30 jam.

Sekali lagi, jangan terus lompat kepada kesimpulan:

“Tapai bagus, jadi makan satu bekas besar setiap hari.”

Tapai tetap mempunyai kandungan karbohidrat dan gula yang perlu diambil kira.

Dalam nutrisi, konsep dos sentiasa penting.


Pekasam, belacan dan cincalok

Malaysia sebenarnya mempunyai warisan makanan fermentasi yang cukup kaya.

Pekasam biasanya dibuat menggunakan ikan air tawar bersama garam dan beras yang telah disangai.

Belacan menggunakan udang bersama garam.

Cincalok pula menggunakan udang kecil bersama garam dan lazimnya beras.

Review 2025 dalam Journal of Ethnic Foods menyenaraikan belacan, budu, cincalok, pekasam, tempoyak dan tapai sebagai contoh penting warisan fermentasi Malaysia.

Kajian terhadap pekasam pula pernah mengenal pasti kumpulan bakteria seperti Pediococcus dan Lactobacillus/Lactiplantibacillus.

Tetapi ada satu perkara yang kita tidak boleh sembunyikan apabila bercakap tentang fermentasi ikan:

biogenic amines.

Histamine, tyramine, putrescine dan cadaverine boleh terhasil semasa fermentasi tertentu sekiranya keadaan dan mikroorganisma menggalakkan pembentukannya.

Kajian terhadap pekasam Malaysia dan kajian fermentasi fish sauce menunjukkan aspek ini memang perlu diberi perhatian.

Sebab itu pembuatan makanan fermentasi secara bersih, terkawal dan menggunakan bahan yang baik sangat penting.

“Makanan tradisional” tidak bermaksud risiko pencemaran terus menjadi sifar.


Jeruk pula belum tentu fermentasi

Ini satu lagi benda menarik.

Orang selalu anggap:

jeruk = fermented food.

Tidak semestinya.

Kalau mangga atau buah hanya dimasukkan ke dalam campuran cuka, gula dan garam untuk menghasilkan rasa masam serta mengawet makanan, proses itu boleh berlaku tanpa fermentasi mikrob yang bermakna.

ISAPP secara khusus membezakan sayur yang mengalami microbial fermentation dengan sayur yang hanya dipickled menggunakan brine atau vinegar tanpa proses fermentasi.

Sebaliknya, kalau jeruk dibiarkan melalui proses fermentasi sebenar di mana mikroorganisma menukarkan gula kepada asid, itu memang boleh dianggap makanan fermentasi.

Jadi jangan nilai berdasarkan nama sahaja.

Cara penyediaannya lebih penting.


Fermented food yang dimasak masih berguna ke?

Contohnya sambal belacan.

Belacan asalnya melalui fermentasi.

Tetapi selepas dibakar atau dimasak, banyak mikroorganisma hidup tentunya tidak bertahan.

Adakah itu bermaksud langsung tiada nilai berkaitan fermentasi?

Tidak semestinya.

Konsensus saintifik menerangkan bahawa sesuatu makanan masih dianggap fermented food walaupun mikroorganisma yang melakukan fermentasi sudah tidak hidup ketika kita memakannya.

Roti sourdough contohnya tetap makanan fermentasi walaupun dibakar.

Fermentasi boleh mengubah tekstur makanan, menghasilkan metabolit baru, meningkatkan ketersediaan nutrien tertentu dan mengubah rasa.

Jadi kita perlu asingkan tiga konsep:

Fermented food — makanan yang dihasilkan melalui aktiviti mikrob.

Live cultures — makanan itu masih mempunyai mikroorganisma hidup ketika dimakan.

Probiotic — strain mikroorganisma tertentu yang mempunyai bukti manfaat kesihatan pada dos tertentu.

Ketiga-tiganya bukan benda yang sama.


Tapi kalau nak jaga mikrobiom, benda paling penting mungkin bukan probiotik pun

Ini ironinya.

Ramai sanggup membeli kapsul probiotik mahal.

Tetapi sayur sehari dua sudu.

Buah jarang.

Kekacang tak makan.

Ulam tak makan.

Bijirin berserat pun tak ada.

Sedangkan mikroorganisma yang sudah berada dalam usus memerlukan substrat untuk hidup.

Dalam bahasa mudah:

Tak cukup setakat hantar pekerja baru ke kilang.

Kena bagi pekerja itu makanan juga.

Di sinilah datangnya konsep prebiotic.

Sebahagian serat dan carbohydrate yang tidak dicerna di usus kecil boleh digunakan secara selektif oleh mikroorganisma usus.

Itulah sebab diet tinggi kepelbagaian tumbuhan mendapat perhatian.


Kajian fermented food pada manusia memang menarik

Salah satu kajian terkenal diterbitkan dalam jurnal Cell pada 2021.

Dalam randomized prospective trial selama 17 minggu, penyelidik Stanford membandingkan diet tinggi serat dengan diet tinggi fermented foods.

Kumpulan fermented-food mengambil makanan seperti yoghurt, kefir, fermented vegetables dan kombucha.

Mereka mendapati pengambilan fermented food yang lebih tinggi berkait dengan peningkatan microbial diversity dan penurunan beberapa marker inflamasi.

Kumpulan tinggi serat pula menunjukkan perubahan fungsi mikrobiom, tetapi diversity tidak meningkat secara seragam sepanjang tempoh kajian.

Kajian itu sangat menarik.

Tetapi hanya melibatkan sekitar 36 orang.

Dan makanan yang diuji bukan budu, tempoyak atau pekasam.

Jadi kita tidak boleh mengambil keputusan tersebut kemudian berkata:

“Stanford dah buktikan budu menyembuhkan usus.”

Itu bukan cara sains bekerja.

Apa yang kajian itu tunjuk ialah konsep makanan fermentasi sebagai satu kumpulan memang mempunyai potensi yang patut dikaji lebih lanjut.


Makanan tradisi Melayu mungkin ada sesuatu yang dunia moden terlupa

Apa yang menarik mengenai budaya makanan lama bukan satu makanan tertentu.

Ia adalah ekosistem makanan.

Bayangkan nasi dalam kuantiti sederhana, ikan, satu lauk sayur, ulam, sambal, sedikit budu atau tempoyak, buah selepas makan.

Dalam satu hidangan sahaja kita mungkin mendapat kanji, protein, serat, resistant starch, pelbagai polyphenol, rempah serta produk fermentasi.

Bandingkan dengan diet moden:

roti putih waktu pagi,

minuman manis,

ayam goreng,

kentang goreng,

biskut,

mi segera,

air berperisa,

kemudian dessert.

Kalorinya mungkin cukup.

Tetapi dari perspektif mikrobiom, kepelbagaian substrat tumbuhan mungkin sangat berbeza.

Systematic review terhadap intervensi plant-based diets juga menunjukkan makanan tumbuhan boleh mengubah pelbagai kumpulan mikroorganisma, walaupun kesannya tidak seragam antara individu.

Jadi barangkali kita tidak perlu terlalu taksub mencari makanan luar negara.

Tak semestinya semua orang mesti minum kombucha.

Tak semestinya kena makan sauerkraut.

Tak semestinya kena beli produk bertulis “gut reset”.

Kita mempunyai makanan sendiri.

Yang penting ialah memahami bagaimana hendak memasukkannya dalam pola pemakanan yang seimbang.


Tetapi budu dan belacan ada satu masalah besar: GARAM

Ini kena disebut.

Jangan sebab makanan itu difermentasi, kita terus menganggap boleh mengambilnya tanpa had.

Budu, belacan, cincalok, ikan masin dan pelbagai makanan fermentasi ikan menggunakan garam sebagai komponen penting dalam penghasilan serta pengawetan.

WHO mengesyorkan orang dewasa mengambil kurang daripada 2,000 mg sodium sehari, bersamaan kira-kira kurang 5 gram garam. Pengambilan sodium berlebihan meningkatkan tekanan darah serta risiko penyakit kardiovaskular.

Jadi budu elok dilihat sebagai condiment, bukannya kuah satu mangkuk.

Sedikit budu bersama banyak ulam mungkin menghasilkan corak makanan yang sangat berbeza daripada menu yang mempunyai budu banyak, ikan masin, telur masin dan makanan ultra-proses tinggi sodium dalam hari yang sama.

Keseluruhan diet tetap lebih penting.


Jangan lupa tentang keselamatan makanan fermentasi

Fermentasi yang terkawal boleh membantu pengawetan makanan.

Tetapi spontaneous fermentation juga bermaksud komuniti mikrob boleh berbeza antara satu produk dengan produk lain.

Kajian budu daripada beberapa pengeluar Malaysia memang menunjukkan variasi besar dalam komposisi mikroorganisma.

Sebab itu kalau hendak membuat makanan fermentasi sendiri, kebersihan tetap penting.

Bekas bersih.

Bahan mentah berkualiti.

Nisbah garam sesuai.

Suhu dan tempoh fermentasi sesuai.

Kalau makanan mengeluarkan bau pelik yang bukan ciri normal, berubah luar biasa, terdapat pertumbuhan kulat yang tidak sepatutnya ataupun kita tidak yakin proses penyediaannya selamat, jangan gunakan hujah:

“Orang dulu buat macam ni.”

Keselamatan makanan tetap nombor satu.


Jadi macam mana hendak “makan untuk mikrobiom”?

Tidak perlu melakukan detox.

Tidak perlu berlapar.

Tidak perlu membeli 10 jenis suplemen.

Asasnya lebih membosankan daripada marketing TikTok — tetapi jauh lebih masuk akal.

Antara amalan yang praktikal ialah:

  • pelbagaikan sayur, ulam, buah, kekacang, ubi dan sumber tumbuhan sepanjang minggu;
  • tingkatkan serat secara beransur-ansur jika diet sekarang sangat rendah serat;
  • masukkan makanan tradisional fermentasi dalam jumlah sederhana jika sesuai dengan keadaan kesihatan;
  • jadikan budu, belacan dan cincalok sebagai penambah rasa, bukannya lesen untuk mengambil sodium berlebihan;
  • bezakan jeruk fermentasi sebenar daripada jeruk tinggi gula, garam atau cuka;
  • pilih makanan whole atau minimally processed lebih kerap berbanding ultra-processed foods;
  • jangan anggap setiap makanan fermentasi sebagai “probiotik”;
  • tidur, aktiviti fizikal, antibiotik, umur dan faktor gaya hidup lain juga mempengaruhi mikrobiom — bukan makanan sahaja.

Dalam budaya Melayu, konsep itu sebenarnya boleh jadi sangat mudah:

nasi + ikan + sayur + ulam + sedikit makanan fermentasi + buah.

Tak perlu semuanya datang dalam botol mahal bertulis:

MICROBIOME SUPER GUT FORMULA 50 BILLION CFU.


Lagi banyak bakteria tidak semestinya lagi bagus

Ini satu lagi salah faham.

Manusia suka nombor.

50 billion CFU mesti lagi power daripada 10 billion?

Tidak semestinya.

Diversity tinggi mesti sentiasa lebih sihat?

Juga tidak semestinya.

Mikrobiom ialah ekosistem.

Dalam hutan pun bukan sekadar bilangan pokok yang menentukan kesihatannya.

Kita perlu tahu spesies apa yang ada, bagaimana ia berinteraksi, apakah metabolit yang dihasilkan dan bagaimana tubuh hos bertindak balas.

Itulah sebab systematic review terbaru terhadap 80 controlled clinical trials mendapati perubahan diet boleh mempengaruhi bakteria dan metabolit tertentu, tetapi perubahan alpha dan beta diversity tidak berlaku dengan konsisten dalam semua kajian.

Sains mikrobiom sedang bergerak daripada soalan:

“Bakteria apa ada?”

kepada soalan yang mungkin lebih penting:

“Apa bakteria itu sedang buat?”


Jangan terlalu cepat salahkan mikrobiom untuk semua penyakit

Mikrobiom kini dikaji dalam obesiti, diabetes, inflammatory bowel disease, cardiovascular disease, kanser dan pelbagai penyakit lain.

Tetapi banyak kajian adalah observational.

Contohnya kalau orang obes mempunyai microbiome yang berbeza daripada orang kurus, terdapat sekurang-kurangnya tiga kemungkinan:

Mikrobiom membantu menyebabkan perubahan metabolik.

Obesiti serta corak pemakanan mengubah mikrobiom.

Atau kedua-duanya saling mempengaruhi.

Sebab itu perkataan association dan causation kena dibezakan.

Review besar 2024 mengenai diet dan microbiome sendiri menekankan perlunya kajian lanjut bagi memahami hubungan sebab-akibat antara diet, hos dan mikroorganisma.

Jadi kalau ada iklan berkata:

“Punca perut buncit anda ialah microbiome rosak.”

Kita patut bertanya:

Mana clinical trial?


Orang lama mungkin tidak tahu istilah microbiome — tetapi mereka kenal fermentasi

Ini bahagian yang Uncle paling suka.

Tok nenek kita tidak mempunyai DNA sequencing.

Tak tahu 16S rRNA.

Tak pernah dengar Lactobacillus.

Tak tahu Tetragenococcus.

Tetapi melalui pengalaman ratusan tahun manusia belajar:

ikan + garam + masa → budu.

durian + fermentasi → tempoyak.

beras atau ubi + ragi → tapai.

ikan + garam + beras → pekasam.

udang + garam → belacan.

udang kecil + garam + beras → cincalok.

Mereka menggunakan mikroorganisma tanpa mengetahui nama mikroorganisma tersebut.

Fermentasi asalnya bukan dicipta untuk “boost gut microbiome”.

Ia merupakan teknologi untuk mengawet makanan, mengubah rasa, tekstur dan aroma serta menggunakan sumber makanan dengan lebih efisien.

Review 2025 tentang makanan fermentasi Malaysia turut menekankan bukan sahaja aspek nutrisi, tetapi nilai budaya, kelestarian dan warisan makanan tempatan.

Dan sekarang, selepas beratus-ratus tahun, sains moden datang semula menggunakan metagenomics dan metabolomics untuk memahami apa yang sebenarnya berlaku di dalam tempayan itu.

Kelakar juga kalau difikirkan.

Orang lama panggil:

buat budu.

Saintis moden panggil:

microbial ecosystem undergoing metabolic transformation.

Benda sama.

Bahasa sahaja berbeza.


Kesimpulan: jangan cari “satu makanan ajaib” untuk microbiome

Kalau nak ambil satu perkara daripada artikel ini, ambillah ini:

Mikrobiom bukan satu organ yang boleh kita “reset” dengan satu produk.

Ia sebuah ekosistem.

Dan ekosistem biasanya dibentuk oleh apa yang berlaku berulang kali.

Apa kita makan setiap hari.

Berapa banyak serat.

Berapa pelbagai tumbuhan yang kita makan.

Penggunaan antibiotik.

Tidur.

Aktiviti fizikal.

Umur.

Persekitaran.

Dan mungkin juga pendedahan kita kepada pelbagai makanan fermentasi.

Budu, tempoyak, tapai, pekasam, belacan, cincalok dan jeruk fermentasi memang sangat menarik dari sudut sains.

Kajian Malaysia menunjukkan makanan-makanan ini benar-benar mempunyai komuniti mikroorganisma dan proses fermentasi yang kompleks.

Tetapi jangan pula kita membuat kesimpulan bahawa semuanya automatik ialah probiotik atau mampu merawat penyakit.

Bukti klinikal khusus untuk kebanyakan makanan fermentasi Melayu masih belum cukup.

Namun mungkin ada satu pengajaran besar daripada budaya makan dahulu yang boleh kita bawa ke zaman moden:

makan pelbagai.

Banyakkan tumbuhan.

Makan serat.

Jangan takut makanan tradisional.

Gunakan makanan fermentasi dengan sederhana.

Jangan berlebihan dengan garam dan gula.

Dan jangan terlalu cepat menggantikan makanan sebenar dengan kapsul.

Kadang-kadang untuk memahami “teknologi kesihatan masa depan”, kita kena tengok semula apa yang sudah ada dalam dapur Tok kita sejak dahulu.

Budu mungkin bukan ubat.
Tempoyak bukan magic probiotic.
Jeruk bukan detox.

Tetapi semuanya mengingatkan kita satu perkara:

manusia sudah hidup bersama mikroorganisma jauh sebelum kita mencipta perkataan “microbiome”.


Antara kajian utama yang dirujuk

Artikel ini menggunakan antara lain review 2024 mengenai diet dan gut microbiome dalam Nature Reviews Microbiology; review 2025 mengenai dietary fibre dan microbiome; randomized controlled dietary study Wastyk dan rakan-rakan dalam Cell; konsensus ISAPP mengenai fermented foods dan gut health; systematic review 80 controlled clinical trials mengenai diet dan microbiota; serta kajian Malaysia mengenai budu, tempoyak, pekasam dan makanan fermentasi tradisional Malaysia.

Nota: Artikel ini bertujuan untuk pendidikan kesihatan dan bukan pengganti diagnosis atau rawatan perubatan. Individu dengan hipertensi, penyakit buah pinggang, alahan makanan, intoleransi histamin atau masalah gastrointestinal tertentu mungkin perlu lebih berhati-hati dengan sesetengah makanan fermentasi dan makanan tinggi sodium.

Leave a Reply